Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Perasmian Parasaya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan 11 daripada 18 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah, Melaka yang keluar parti semalam dipercayai selepas kemahuan mereka untuk mendapatkan jawatan tidak ditunaikan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak terkejut dengan perkembangan terbaru itu, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh ahli baharu.

“Naib pengerusi cabang yang didakwa keluar, tetapi jawapan yang diberi oleh ketua cabang masjid tanah itu pun kena tengok juga.

“Dia kata 18, tapi 11 orang itu masuk selepas pilihan raya (PRU14), mereka ini yang keluar.

“Jadi tujuh (7) daripadanya memang orang lama, jadi barulah seimbang sikit, bunyi 18 keluar parti, 11 itu baru masuk saja, mereka masuk berhasrat untuk diberikan beberapa jawatan.

“Jadi bila tak dapat maka pilih untuk keluar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pasaraya AJ Best, Jalan Tunku Abdul Rahman, Chow Kit, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 18 ahli PKR Cabang Masjid Tanah yang mengumumkan keluar parti itu semalam kerana tidak berpuas hati dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka.

Salah seorang daripada 18 ahli PKR itu merupakan naib pengerusi cabang selama tiga penggal diikuti oleh 17 yang lain daripada cabang sama.

Saifuddin juga berkata, seorang ahli PKR yang mempunyai komitmen tinggi kepada parti dan bersemangat tinggi tidak akan melakukan tindakan keluar parti.

“Saya percaya ahli yang komited, tebal idealisme dia, tinggi komitmen dia kepada parti, dia takkan ambil langkah macam itu,” katanya.

Sebaliknya, menurut Saifuddin jumlah keluar parti itu berbanding permohonan baharu untuk menjadi anggota lebih tinggi dan ia berbeza-beza secara mingguan.

“Setiap minggu saya akan membentangkan angka keanggotaan baharu yang masuk PKR, setiap minggu itu berbeza (jumlah) tapi paling kurang seminggu 5,000 orang

“Paling tinggi seminggu adalah 10,000 orang, sebagai SUA parti, saya tahu statistik itu sebab permohonan menjadi anggota parti boleh dibuat melalui dalam talian.

“Kita masuk Keadilan tiada isi borang, jadi mereka perlu pergi ke laman web Keadilan, pergi ke permohonan keanggotaan dan masukkan butiran kemudian pemohonan akan diproses

“Jadi setiap minggu pegawai saya akan beritahu, kerja saya membentangkannya kepada Biro Politik sebab ia ada kuasa untuk melulus atau menolak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette