Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada retreat pimpinan PKR di Grand Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dakwaan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ingin menyertai Parti Gerakan hanyalah ura-ura semata-mata.

Katanya, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak tahu perkara sebenar dan hanya tahu menerusi media sahaja.

“Kita baca ura-ura je (sahaja) kan?” katanya ditemui pemberita selepas melancarkan Program Saringan Serviks Percuma Etiqa dengan kerjasama ROSE Foundation, hari ini.

Katanya lagi, pihak media harus memanjangkan persoalan ini kepada empunya diri bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai dakwaan itu.

“Tanya beliau sendiri,” kata Presiden Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Jumaat lalu, media melaporkan Azmin dijangka keluar PKR dan menyertai Gerakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan dibuat oleh Azmin setakat ini.

Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Azmin masih timbalannya.

Tindakan itu dilihat berikutan ketegangan antara beliau dan Anwar sebelum ini. -MalaysiaGazette