Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (tengah) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim (empat kanan) dan Pengerusi Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Abd Khadir (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Edisi Ke-8 Ekspo Halal Fiesta Malaysia (Halfest Jakim 2019) di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2019 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pameran halal terbesar dalam negara menyasarkan jualan sebanyak RM70 juta.

Malah, fiesta itu turut dijangka dihadiri pengunjung antara 80,000 hingga 90,000 orang.

Halfest JAKIM 2019 akan berlangsung di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan pada 4 hingga 8 September depan.

Buat kali pertama Halfest JAKIM dianjurkan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),  Bank Negara Malaysia (BNM) serta beberapa Kementerian, dengan Shapers Malaysia Sdn. Bhd. sebagai sekretariat.

Halfest 2019 tuurt dijangka menerima penyertaan lebih 450 usahawan yang bakal memenuhi lebih 500 ruang pameran.

Ia bakal dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, selain aktiviti jual beli produk halal, komponen khas Halfest JAKIM 2019 ialah Karnival Perbankan Islam, Takaful, Pelaburan dan Fintech sebagai pelengkap kepada inisiatif promosi industri halal negara.

Beliau berkata, objektifnya ialah untuk memberi pendedahan mengenai produk kewangan Islam dan takaful kepada para pengunjung dan usahawan.

“Sesi suai niaga (business matching) turut diadakan untuk menemukan usahawan dengan pembeli, pemborong, pengeksport dan peruncit dari serata Malaysia.

“Sesi ini sangat penting kerana ia membuka peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja di kawasan produk mereka beroperasi malahan ke seluruh negara,” katanya ketika melancarkan Halfest JAKIM 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Khadir.

Mujahid berkata, Halfest JAKIM merupakan satu inisiatif rahmah yang menonjolkan usahasama JAKIM dan MAIWP dalam mengetengahkan usahawan dalam golongan asnaf (asnafpreneur) serta mempromosikan budaya halal bukan sahaja dalam kalangan usahawan atau bukan Islam dengan memberikan pendedahan lebih terperinci mengenai produk-produk dan perkhidmatan pensijilan halal.

“Halfest JAKIM boleh dilihat sebagai medan terbaik untuk penyatuan ummah tidak kira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam pada kata beliau, satu jawatankuasa bagi mendigitalkan pentadbiran Islam dijangka dibentuk dalam usaha memastikan Malaysia terus menerajui industri halal peringkat global.

Jelas Mujahid, perkara itu masih diperingkat rancangan dan penubuhannya dijangka diumumkan pada tahun depan. – MalaysiaGazette