Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa kerajaan membuktikan ia komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang berhubung isu video seks gay yang mensasarkan timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas pengerusi PKR Johor itu mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, bekas pemimpin PKR yang membuat pengakuan mengejut pada Jun lalu bahawa beliau adalah salah seorang daripada dua lelaki pelaku dalam video tersebut.

“Saya menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh rakyat berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hassan turut menegaskan bahawa prinsip yang sama juga harus diikuti Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Malah katanya, mereka perlu menyatakan bahawa mereka mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Ujarnya, pihak berkuasa sudah mempunyai saksi material yang membuat pengakuan secara sukarela bahawa beliau salah seorang pelaku dalam kes hubungan seks itu yang mengikut Kanun Keseksaan Malaysia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat.

“Masa lebih dari cukup untuk polis menyelesaikan kertas siasatannya dan menyerahkan kepada pihak pendakwa.

“Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bola sekarang berada di gelanggang ketua polis negara dan juga peguam negara merangkap pendakwa raya,” ujarnya.

Hassan menambah, video seks itu merosakkan reputasi negara di peringkat antarabangsa dan memalukan lebih 32 juta rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette