KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan membatalkan perintah memintanya memohon maaf kerana membuat hantaran di Facebook baru-baru ini berhubung perbelanjaan kad kredit ketika perbicaraan SRC International dua minggu lepas.
Ketua Pasukan Pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan tersebut pada Isnin.
Kata Shafee pihaknya juga akan memasukkan permohonan untuk membatalkan notis itu dengan afidavit menyokong permohonan berkenaan.
Pada 18 Julai lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas, meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah, bagaimanapun Mohd Nazlan pada 23 Julai lalu memutuskan bahawa ia lebih baik difailkan melalui permohonan rasmi.
Pendakwa Raya telah memohon Mahkamah Tinggi mendengar secepat mungkin usul pihaknya supaya Najib memohon maaf terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada jam 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi 17 Julai lalu.
Sebuah perintah juga dipohon agar Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan membabitkan keterangan dikemukakan saksi dalam kes perbicaraan SRC International yang dihadapinya.
Ia juga memohon perintah, bahawa Najib yang menyebabkan penerbitan yang dipersoalkan itu dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam prosiding sebelum ini, Tommy berkata Najib memuat naik paparan yang menjelaskan keterangan saksi ke-47, iaitu Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, berhubung penggunaan kad kredit miliknya (Najib) dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.
Beliau berkata pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.
Tommy berkata Najib melakukan tindakan itu atas kapasiti peribadi dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya.
Bagaimanapun, Shafee Abdullah sudah berhujah mengatakan anak guamnya tidak melakukan apa-apa kesalahan bersifat ‘subjudis’ sehing perlu memohon maaf berhubung isu tersebut seperti yang didakwa oleh pasukan pendakwa raya. –MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/26/pendakwaan-fail-permohonan-minta-najib-memohon-maaf/