LONDON – Arsenal mengesahkan pembelian pemain sayap, Nicolas Pepe dari kelab Perancis, Lille telah memecahkan rekod perpindahan pasukan itu dengan harga mencecah £72 juta (RM362.36 juta).
BBC melaporkan, rekod pembelian Arsenal sebelum ini adalah £56 juta (RM281.83 juta) ketika mendapatkan penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang pada Januari 2018.
Pepe yang berusia 24 tahun kini menjadi pemain Afrika termahal dan pemain keempat termahal dalam sejarah Liga Perdana selepas gandingan Manchester United, Paul Pogba (£89 juta – RM447.91 juta) dan Romelu Lukaku (£75 juta – RM377.46 juta) serta pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk (£75juta – RM377.46 juta).
Pemain itu akan memakai nombor jersi sembilan dalam usaha meningkatkan kekuatan Gunners di bahagian serangan walaupun gandingan berbisa Aubameyang dan Alexandre Lacazette meledak 50 gol dalam semua kejohanan musim lalu.
Tempoh perjanjian berkenaan tidak diumumkan tetapi difahamkan selama lima tahun.
Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata, Nicolas adalah pemain yang bernilai tinggi serta pemain sayap yang amat berbakat yang menjadi buruan banyak pasukan utama di Eropah.
Pepe yang meledak 22 gol dalam Ligue 1 musim lalu sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Manchester United dan Napoli.
Pemain antarabangsa Ivory COast itu berada di belakang penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dalam carta penjaring Ligue 1 ketika Lille menamatkan saingan liga di tangga kedua dan layak ke Liga Juara-Juara. – MalaysiaGazette