KAJANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya melemparkan senyuman ke arah wartawan apabila ditanya mengenai pendirian Pas yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melengkapkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama sepenggal.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang tidak mahu mengulas perkara tersebut berkata: “Kita cakap pasal penjara,”.
Sejurus selepas itu Menteri Dalam Negeri itu beredar meninggalkan Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
Semalam, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan sokongan agar Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga ke akhir penggal.
Katanya, ia penting supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin kepada kestabilan politik negara dan meminta semua parti politik membantu Dr. Mahathir menjalankan tugas hingga akhir penggal.
“Pas dan UMNO terutama bersedia menjadi pembangkang yang konstruktif untuk bersama-sama Tun M membangunkan negara,” kata Tuan Ibrahim menerusi kenyataan. – MalaysiaGazette