Mohamed Azmin Ali

GEORGE TOWN – Kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berkhidmat sehingga habis penggal tidak menggambarkan beliau tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti Perdana Menteri itu.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, meminta semua pihak supaya tidak membuat tafsiran sedemikian sebaliknya melihat isi kandungan kenyataannya yang banyak menyentuh soal ekonomi.

“Ada tak saya sebut (tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan) dalam itu (kenyataan), jangan buat tafsiran. Kalau tengok 80 peratus kenyataan saya mengenai soal kestabilan ekonomi, pelaburan dan pewujudan pekerjaan serta pelaburan baharu.

“Saya rasa ini penting untuk Perdana Menteri meneruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsistensi tuntas dasar itu sehingga kita buat keputusan dalam pilihan raya yang akan datang.

“Saya tidak berhasrat untuk menyinggung mana-mana individu. Saya percaya rakyat di bawah terlalu penat dengan ‘political fatigue’ (keletihan politik) kerana baru setahun kita diberikan mandat sudah mula bincang perkara-perkara politik. Bagi saya ini tidak sihat, kita perlu terus bekerja,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kenyataannya yang menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal menggambarkan beliau tidak menyokong Presiden PKR itu sebagai pengganti Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PKR itu dalam kenyataannya pada Isnin (29 Julai) dilaporkan berkata beliau menyambut baik pendirian gabungan PAS-UMNO untuk menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal lima tahun kerajaan berakhir bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Terdahulu, Mohamed Azmin dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow mempengerusikan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sementara itu, ditanya mengenai perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakannya bersama Perdana Menteri baru-baru ini, Mohamed Azmin berkata beliau mempunyai terlalu banyak mesyuarat dengan Perdana Menteri dan kebanyakan mesyuarat tidak menyentuh soal politik sebaliknya isu ekonomi yang dibincangkan.

“Saya kerap bermesyuarat dengan Perdana Menteri terutama mesyuarat yang memfokus kepada hal-hal ekonomi, hal-hal kementerian. Macam sekarang kita sedang menyediakan RMK12, jadi saya perlu berbincang dengan Perdana Menteri apa keutamaan-keutamaan yang perlu ditangani.

“Kementerian saya juga adalah Sekretariat bagi Majlis Tindakan Ekonomi. Jadi, dari semasa ke semasa saya perlu berjumpa Perdana Menteri dan berbincang isu-isu berkenaan. Jadi saya sibuk dengan hal-hal ini, jadi saya tidak bincang isu politik. Saya tak tahu mesyuarat mana yang kamu maksudkan,” katanya. – MalaysiaGazette