Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Sejumlah 35 akaun bank dibekukan susulan rampasan wang tunai sebanyak RM4 juta serta beberapa hartanah daripada pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Bank Negara dalam satu kenyataan di sini berkata, operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen pada 1 Ogos lalu itu turut merampas beberapa dokumen, komputer dan telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut.

Tambahnya, 14 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan manakala 22 pendatang tanpa izin yang disyaki kakitangan dan pelanggan syarikat berkenaan ditahan oleh Jabatan Imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, syarikat-syarikat berkenaan disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan menjalankan aktiviti perkhidmatan wang tanpa lesen di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).-MalaysiaGazette