Abdul Kadir pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Dewan Pemuda Ikatan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) belum membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama rakan gabungannya Pas dengan UMNO menerusi Perpaduan Ummah.

Sebaliknya, menurut Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ikatan tetap komited dengan Pas dan Parti Berjasa menerusi Gagasan Sejahtera (GS).

“Setakat ini kita belum fikir lagi sama ada hendak bersama dengan Pas dan UMNO dalam Perpaduan Ummah. Kita tengok dulu (keadaan politik) macam mana.

“Lagi pun masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan atau pendirian kerana kerjasama Pas dan UMNO masih baru dan belum ada apa-apa hala tuju yang tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Dewan Pemuda Ikatan Malaysia dan majlis penyampaian watikah Dewan Pemuda Ikatan Malaysia di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan.

Mengenai pendirian Ikatan terhadap tempoh pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang banyak pihak mahu beliau meneruskan untuk satu penggal, Abdul Kadir berkata, partinya telah menyatakan solidariti terhadap Perdana Menteri sejak Mei lalu.

Katanya, Ikatan secara rasmi menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mana yang baik, kita beri sokongan. Setakat ini kita tak nampak kepincangan sepanjang lebih setahun Dr. Mahathir menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya. – MalaysiaGazette