Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lynas Malaysia mencadangkan supaya lombong yang tidak digunakan di Pahang sebagai kawasan untuk pembinaan kilang pelupusan tetap (PDF).

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad, PDF boleh direka untuk membantu rehabilitasi tanah di kawasan lombong tersebut di samping memberi manfaat kepada alam sekitar.

“Terdapat banyak lombong yang tidak digunakan di Pahang yang memerlukan rehabilitasi.

“Manakala PDF pula boleh direka untuk membantu proses rehabilitasi di kawasan tersebut di samping memberikan manfaat kepada kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, Lynas boleh menyimpan sisa pemprosesan nadir bumi dari lojinya di Gebeng, Kuantan dengan syarat ia membina dan menyelenggara kemudahan bagi pembuangan sisa tersebut.

Dalam pada itu, Mashal menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir baru-baru ini bahawa eksport sisa penulenan air larut lesap (WLP) bukan menjadi syarat pembaharuan lesen operasi syarikat tersebut.

Ini juga disifatkan Lynas seiring dengan syarat pelesenan sedia ada serta syor oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian kerajaan.

“Aspek pengurusan sisa itu sentiasa menjadi bahagian penting dalam perancangan dan operasi Lynas. Malah Lynas telah mematuhi syarat yang menetapkan bahawa sisa tersebut disimpan secara selamat,” katanya lagi.

Tambah beliau, sisa tersebut disimpan dalam fasiliti pelupusan tetap (PDF) yang telah diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Ini turut disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian yang mendapati operasi Lynas Malaysia adalah menepati peraturan relevan dan fasiliti simpanan sisa tersebut diuruskan dengan betul. – MalaysiaGazette