Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha (kiri) bersalaman dengan perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang di Kinrara Resort, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 OGOS 2019

PUCHONG – Piagam Kerjasama Pas-UMNO yang akan dimuktamadkan secara rasmi akan menjaga kepentingan kaum dan agama lain di negara ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu sudah diperuntukkan dalam piagam yang akan ditandatangani Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 14 September ini.

Katanya, kerjasama itu harus diteruskan demi penyatuan ummah Islam dan juga memperkukuhkan blok pembangkang supaya bersama-sama bangkit dengan BN merampas kerajaan pada PRU15 nanti.

“Kita mesti teruskan kerjasama Pas-UMNO ini kerana Allah membuka dada kita demi agama dan kepentingan kaum bangsa dan negara.

“Rakan BN,MCA dan MIC yang masih setia dan kekal dengan UMNO selepas semua parti komponen melarikan diri, selepas PRU14 lalu.

“Tapi mereka memahami dan tidak ada masalah menerima kerjasama Pas cuma pelik kenapa DAP paling takut kerjasama UMNO Pas sehingga lemparkan tohmahan dan anggap sebagai ancaman kepada bukan Melayu,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang di sini.

Tambahnya, permulaan kerjasama rasmi UMNO-Pas di Selangor semasa di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.

Menurutnya, piagam itu bakal mengubah landskap politik negara pada masa akan datang.

“Dengan gabungan kuasa baharu UMNO,PAS, MCA dan MIC kami akan rampas Putrajaya pada PRU15 nanti kerana rakyat sudah kecewa kerajaan semasa yang ditubuhkan atas fitnah dan janji palsu,” ujarnya.

Katanya, MCA dan MIC adalah rakan lama yang setia kekal dalam suka dan duka UMNO dan kini bersedia terima Pas, sekali gus membuktikan parti berkenaan bukan ancaman seperti yang diporakperandakan oleh DAP sebelum ini.

“Kita memerintah 61 tahun dan jelas dalam Perlembagan pertahankan kepentingan Melayu di samping menjaga semua kaum lagi.

“UMNO sudah lama buktikan kita memihak semua, begitu juga kepimpinan Pas di Kelantan, tidak pernah bukan Melayu keluar akibat terseksa di bawah pemerintahan Islam di sana.

“Maka jangan pandang serong seolah anti atau rasis kepada agama lain.. jangan,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette