Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas memalu gong pada Majlis Perasmian Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – “Hari ini 5 Ogos, hari jadi Permaisuri. Doakan isteri saya panjang umur dan lagi pandai masak.”

Itulah permintaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan hari jadi isteri baginda, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke-59 hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah ketika berkenan mencemar duli hadir merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja di sini hari ini yang turut dihadiri Tuanku Azizah.

MGF050819_PAMERAN RAJA KITA22
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada Perasmian Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

Titah baginda secara spontan itu telah mencuit hati tetamu yang hadir.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan isteri baginda dikurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan bagi berkongsi tenaga dan ilmu dengan rakyat jelata.

Seri Paduka juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong yang menjadikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bermula 24 Ogos lalu dan berakhir hari ini berjalan sempurna dan lancar.

MGF05082019_PERASMIAN PAMERAN RAJA KITA21
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas merasmikannya di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2019.

“Terima kasih isteri saya, isteri tersayang kerana banyak memberi fokus dan tumpuan bagi memastikan istiadat penuh sempurna dan diperhalusi.

“Terima kasih juga kepada kakitangan Istana Negara yang banyak bersabar dan mendapat banyak tunjuk ajar daripada baginda,” titahnya sambil tersenyum.

Al-Sultan Abdullah juga merakam penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sementara itu, Pameran Raja Kita turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. – Malaysiagazette