KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mempersoalkan tindakan veteran DAP, Lim Kit Siang memberi amaran kepada rakyat negara ini agar berhati-hati dengan para konspirator yang mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama.
Sebaliknya Keng Liang menyalahkan ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sendiri berbuat demikian kerana anak dan wakil DAP sendiri dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kit, ini adalah dasar Kerajaan Harapan/ DAP anda sendiri. Anda juga ada wakil DAP @TeoNieChing sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
“Malah anak anda sendiri @LimGuanEng dalam Kabinet. Teori konspirasi apa yang cuba anda putar di sini,” katanya dalam ciapan terbaru di akaun Twitternya, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang hari ini memberi amaran kepada rakyat negara ini agar tidak terjerumus dengan perangkap yang dipasang oleh para “konspirator” yang berusaha gigih untuk menyaksikan percakaran bangsa melawan bangsa dan agama terhadap agama.
Menurut Kit Siang, objektif komplot itu adalah untuk menimbulkan kecurigaan, ketidakpercayaan dan kebencian untuk mendapatkan semula kuasa politik.
Kit Siang mendakwa, pengkomplot itu bekerja keras bagi memastikan konsep kerjasama rakyat berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang budaya dan berbilang agama gagal. – MalaysiaGazette