Jabatan Imigresen Malaysia menahan 36 warga China kerana disyaki menjadi operator judi dalam talian.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 36 warga China, termasuk seorang perempuan, dalam operasi yang dilakukan ke atas empat premis kediaman sekitar Kuala Lumpur.

Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 17 hingga 56 tahun.

Operasi yang bermula jam 12.15 tengah malam tadi disertai seramai 16 orang Pegawai Imigresen dari dari Bahagian Operasi, Siasatan & Pendakwaan JIM Putrajaya.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Ooerasi), Mohamad Fauzi Md. Isa berkata, kebanyakan suspek ditahan kerana tidak mempunyai dokumen semasa pemeriksaan dilakukan.

“Hanya empat daripada mereka mempunyai pasport dan semakan mendapati mereka telah tinggal lebih masa di atas Pas Lawatan Sosial.

“Kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai operator perjudian online dengan penemuan sejumlah besar telefon bimbit dan komputer riba di premis tersebut yang turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad Fauzi, sindiket itu beroperasi dengan menggunakan laman web tertentu yang menawarkan judi bercirikan kasino, sport game, slot game dan sebagainya.

Turut ditahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan pegawai perhubungan atau perantara dengan pengendali perjudian online yang berada di China, katanya.

Tambah beliau, suspek warga tempatan itu bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal warga asing tersebut.

“Sindiket yang menyasarkan pemain judi dari China, Indonesia dan juga Malaysia dipercayai telah beroperasi sejak 5 bulan yang lalu,” katanya sambil menambah sindiket tersebut mampu mengaut keuntungan kira-kira RM 10,000 sehari.

Mohamad Fauzi berkata, kesemua suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette