Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu tegas dalam membuat sebarang keputusan berkaitan isu pengurusan sisa nadir bumi yang dihasilkan oleh kilang Lynas Advance Material Plan (LAMP) agar tidak menimbulkan konflik lebih kritikal di masa akan datang.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga perlu berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu tentang isu Lynas yang dilihat tidak berasas.

“Kebenaran operasi Lynas diteruskan menunjukkan komitmen kerajaan memandangkan laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP 2018 sendiri merumuskan bahawa segala aktiviti pengurusan Lynas mematuhi semua akta-akta utama yang berkaitan.

“Bagaimanapun, saya mengesyorkan kerajaan berpegang teguh pada pendirian bahawasanya lesen kilang Lynas tidak boleh diperbaharui selagi residu yang dihasilkan oleh LAMP tidak dibawa keluar dari Malaysia.

“Sehingga kini status kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) sebanyak 451,564 tan metrik yang dinyatakan oleh pihak Lynas menjadi tanda tanya perlu dilakukan dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh lesen tamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menjelaskan, operasi Lynas diteruskan kerana kerajaan tersepit dengan pinjaman dana daripada Kerajaan Jepun dalam bentuk Bon Samurai.

Menurut Fuziah antara yang lantang mengkritik Lynas dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga menekan negara meminjam wang daripada Jepun.

Che Alias juga berkata, sekiranya pihak Lynas masih gagal mengikuti cadangan atau saranan LAMP, kerajaan perlu bertegas memastikan residu dihantar balik ke negara asal tanpa berkompromi walaupun cadangan ini ditolak oleh Australia.

“Saya berharap kerajaan dapat memperhalusi dan meneliti secara terperinci sebarang keputusan yang dibuat dengan mengambil kira autoriti kemaslahatan rakyat berkaitan isu status pembaharui lesen operasi kilang Lynas yang dijangka akan diumumkan minggu depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette