SUBANG JAYA – Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di negeri Selangor.
Anthony sebaliknya berpendirian isu tersebut perlu ditanya kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Selangor memandangkan beliau bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya tidak terlibat dalam pentadbiran Selangor. Kamu perlu tanya pemimpin Selangor. Saya bukan ADUN Selangor,” katanya ringkas.
Anthony terdahulu diminta mengulas mengenai desas desus tercetus krisis politik di Selangor berpunca daripada cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara satu pihak.
Cadangan pindaan itu menemui jalan buntu apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim memendekkan sidang hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung daripada 29 Julai hingga 9 Ogos.
Selepas Ng menamatkan sidang, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dikatakan mengadakan pertemuan dengan ADUN PKR beragama Islam serta seorang ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membincangkan perkara itu.
Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam.
Pindaan itu untuk mengubahnya kepada “ibu atau bapa”. Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan bahawa perlembagaan tidak harus ditafsirkan secara harfiah dan keputusan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak. – MalaysiaGazette
















