PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Isham Ishak mengesahkan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama dua hari untuk membantu siasatan sebuah kes rasuah.
Tidak dibenarkan untuk mendedahkan kes berkenaan, Isham menjelaskan, beliau dipanggil oleh SPRM bagi memberi penerangan mengenai prosedur-prosedur yang ada di Kementerian Pelancongan bagi menghalang sebarang jenayah rasuah berlaku di kementerian berkenaan.
Tambah Isham, beliau turut menyerahkan dokumen dan fail-fail berkaitan kepada SPRM.
“Saya hanya berada di kementerian selama lima bulan.
“Tidak banyak yang saya ketahui mengenai kes tersebut tetapi semua fail dan dokumen yang berkaitan telah diserahkan kepada SPRM.
“Saya telah dipanggil selama dua hari tetapi pada setiap sesi, saya dibenarkan untuk berulang-alik ke kementerian bagi menghadiri mesyuarat dan membuat kerja,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Tambah Isham, penjelasan terbuka ini penting bagi membersihkan nama beliau, keluarga dan kementerian.
Ini kerana katanya, di samping salah faham mengenai kes rasuah yang sedang disiasat SPRM ketika ini, beliau juga sering menjadi mangsa fitnah dalam beberapa kes berbeza.
Menurut beliau, sebuah portal sengaja menerbitkan artikel-artikel tidak berasas di samping menyiarkan dokumen-dokumen sulit kerajaan dengan tujuan untuk memfitnah beliau melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa.
“Apabila kita menjalankan tugas dengan integriti, kita pasti akan menjadi mangsa serangan golongan yang tidak menyukainya.
“Saya harap para media terutamanya media-media sosial lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan sebarang berita,” jawabnya ketika ditanya mengapa sering menjadi sasaran fitnah.
Kelmarin, sebuah portal melaporkan Isham dipanggil hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk membantu siasatan membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta. – MalaysiaGazette
















