Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempamerkan kebolehan mengendalikan simulasi kereta ketika meluangkan masa melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019 di Subang Hi-Tech Industrial Park, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 JOGOS 2019

SUBANG JAYA – Syarikat insurans disarankan memberi ganjaran kepada pemilik kenderaan yang tiada rekod saman dan tidak pernah terlibat dengan kemalangan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah tersebut boleh meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya menjadi pemandu yang lebih berhemah.

Secara tidak langsung ia akan membantu kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, katanya.

“Saya telah bawa perkara ini kepada Kabinet dan berharap ia akan dimuktamadkan dalam masa yang terdekat.

“Meskipun kerajaan tidak ada cara untuk secara langsung memberikan ganjaran kepada pemandu yang berhemah, tidak ada saman namun kita boleh mengadakan kerjasama dengan sektor swasta.” katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya 2019 anjuran Digi Telecommunicatiosn Sdn. Bhd.

Meskipun cadangan ini katanya, telah dibangkitkannya semasa mesyuarat Kabinet baru-baru ini namun masih belum ada keputusan bagaimana kerajaan boleh bekerjasama dengan sektor swasta.

Selain itu, jelasnya, sektor swasta juga boleh memainkan peranan dengan cara yang berbeza seperti yang dilakukan Digi Telecommunicatiosn.

“Kita (kerajaan) boleh kerjasama dengan syarikat petrol, dan lain-lain seperti hari ini Digi,” tambahnya.

Anthony menganggarkan sebanyak RM8 bilion diperuntukan syarikat insurans setiap tahun bagi melindungi kenderaan yang mengalami kemalangan.

Terdahulu Anthony Loke menegaskan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pengangkutan bukan berdasarkan jumlah saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangjutan Jalan (JPJ).

Sebaliknya beliau berkata, semakin kurang saman yang dikeluarkan menunjukkan Kementerian Pengangkutan menjalankan tugas yang baik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pemanduan yang berhemah.

“Saya nak tekankan sebagai Menteri Pengangkutan saya tidak lihat pengeluaran saman sebagai KPI. Semakin kurang pengeluaran saman lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette