Foto Instagram Ayda Jebat

KUALA LUMPUR – Persembahan mini sulung Ayda Jebat yang diadakan di dalam pesawat udara semalam diiktiraf sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung Di Latitude Tertinggi oleh Malaysia Book Of Records.

Penyanyi yang popular dengan lagu Temberang itu membuat persembahan tersebut sewaktu berada dalam pesawat AK5106 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

Dia mengadakan persembahan pada ketinggian 38,000 kaki dari paras laut.

Ayda atau nama penuhnya Nur Suhada Jebat itu menyampaikan tiga lagu iaitu Pencuri Hati, Xin Tai Ruan dan Temberang yang turut disertai Shadow Puppet Theatre.

Persembahan mereka disaksikan Pengerusi Pelancongan Malaysia, Ahmad Shah Tambakau. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Michael Tio.

Persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 yang dianjurkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menerusi Instagram miliknya, Ayda, 27, turut meluahkan rasa terharu kerana persembahannya itu dimeriahkan oleh penumpang pelbagai bangsa. – MalaysiaGazette