Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) disifatkan lebih berkuasa daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu seni khat dan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4, di sekolah vernakular.

Ketua Dewan Pemuda IKatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, Dong Zong juga lebih hormat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berbanding Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila Dong Zong bertegas tidak bersetuju dengan pembelajaran jawi dan khat sebelum ini walaupun menteri sudah berlembut dengan desakan mereka.

“Pada awalnya, Dong Zong bertegas tidak bersetuju, kemudian mereka bersetuju apabila berjumpa Timbalan Menteri Pendidikan.

“Setelah Maszlee mengeluarkan kenyataan media yang berlembut dan ‘berkompromi’ melalui perubahan kepada silibus dan diajar secara pilihan, Dong Zong tidak bersetuju sekali lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama Shahir berkata, DPIM kesal dengan keputusan Maszlee dan KPM kerana berlembut dalam hal itu.

Ujarnya, sejurus kenyataan rasmi dikeluarkan Maszlee, golongan pendesak Dong Zong turut mengemukakan kenyataan balas yang angkuh.

“Pertama, pembelajaran jawi dan khat kini menjadi pembelajaran pilihan, di mana guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya.

“Erti kata lain, guru diberi pilihan untuk mengajar anak murid atau tidak.

“Adalah tidak menjadi kesalahan untuk tidak mengendahkan topik jawi dan khat. Kecelaruan akan timbul di mana ada anak-anak Malaysia belajar jawi dan khat dan ada juga yang rugi besar kerana tidak mendapat peluang belajar seni warisan Melayu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, DPIM turut berdukacita dengan Maszlee apabila mengurangkan bilangan muka surat daripada enam kepada hanya tiga muka surat sahaja dalam pembelajaran itu.

“Sudahlah pengajaran adalah pilihan, pengisian pembelajaran juga dipendekkan hanya kerana mengikut kehendak Dong Zong.

“Adakah Dong Zong kini bertujuan menghapuskan seni warisan Melayu terhadap generasi baru bangsa Malaysia?” soalnya.

DPIM menegaskan jawi dan khat bukan bertujuan Arabisasi, tetapi mendukung seni warisan Melayu, katanya.

Justeru beliau menegaskan, DPIM akan terus menyemak dasar-dasar Dong Zong yang tidak menzahirkan nilai tambah kepada agenda pendidikan nasional ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang sejahtera. – MalaysiaGazette