Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Masyarakat hari ini sudah tidak lagi mempunyai sikap saling hormat-menghormati di antara satu sama lain meskipun negara berpuluh tahun sudah diduduki rakyat pelbagai kaum.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara ini menyebabkan timbulnya pertikaian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama seterusnya mengakibatkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum semakin terhakis.

“Saya nampak soal hormat-menghormati semakin hari semakin kurang sebab itu ada yang membawa isu perkauman, keagamaan. Isu sensitif amat penting (kaum dan agama), kita jangan buat sesuatu yang boleh merungsingkan kaum lain.

“Ini hanya boleh dicapai apabila berpegang teguh kepada prinsip hormat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas tentang pelbagai isu yang timbul dalam masyarakat menjelang negara meraikan ulang tahun ke-62 Malaysia merdeka.

Tanpa mengutamakan diri sendiri semua rakyat sepatutnya menghargai sumbangan setiap kaum dalam memastikan negara dapat mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu, katanya lagi.

Menurut beliau, setiap rakyat memainkan peranan penting dalam membangunkan negara  dari dulu kini dan kelak, justeru tanpa prinsip hormat, perpaduan yang jitu tidak akan dapat dikecapi.

“Saya berharap apabila sudah sampai hari untuk hari menyambut ulang tahun kemerdekaan,kita mengimbas kembali tentang sumbangan setiap  kaum ke arah menjadikan negara yang harmoni dan saling menghormati.

“Setiap sambutan ini mesti digunakan untuk berfikir sejauh mana kita dapat memainkan peranan menjaga keharmonian kaum dan memastikan intergrasi antara kaum supaya kita boleh mengelakkan perpecahan antara rakyat,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau berharap agar setiap rakyat dalam negara menjelang Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos ini, sedar bahawa pembinaan negara memerlukan persefahaman semua kaum.

“Ini semua porses pembinaan negara, dalam proses ini kita memerlukan kerjasama, persefahaman semua kaum, semangat hormat-menghormati.

“Saya harap kita semua sedar dan boleh lakukan apa juga ke arah memperbetulkannya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette