Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Insentif yang diberikan sejak tahun 2000 ini diberikan kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2019.

Ia melibatkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak.

Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2019.

Para pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga yang berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 September 2019. – MalaysiaGazette