Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bercakap pada sidang media di Wisma CUEPACS, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan digesa menyemak semula semua rekod penyelenggaraan kenderaan terutamanya ambulan oleh syarikat yang diberi kontrak.

Ini bagi memastikan syarikat berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, bukan sambil lewa sehingga mempertarungkan nyawa pemandu, pegawai perubatan, juru rawat dan pesakit.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak mahu insiden kemalangan di Kilometer 368.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Slim River, awal pagi 4 Ogos lalu berulang.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu disebabkan tayar ambulan berkenaan pecah dan berdasarkan pengamatannya, ia tidak diselenggara dengan baik.

“Kementerian Kesihatan perlu jawab, tayar ambulan yang pancit sehingga terbabas dan mengorbankan nyawa pemandu serta pesakit itu tayar original atau tayar celup.

“Kita dapati ambulan itu tidak diselenggara. Tayarnya merekah, tetapi dibenarkan beroperasi membawa pesakit,” katanya pada sidang media khas di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi 4 Ogos lalu, pemandu dan pesakit maut apabila ambulans dinaiki terbabit kemalangan.

Tiga lagi mangsa turut cedera termasuk seorang doktor wanita.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 6.42 pagi membabitkan kenderaan jenis ambulans Hospital Slim River.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, ambulans itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas hingga melanggar besi pembahagi jalan dan terdapat lima mangsa dalam kenderaan.

Pemandu, Mohd Hafidz Mohd Bahari dan pesakit, Azizah Dolah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Pembantu Perawatan, Khairulazani Khairuddin dan jururawat, Nur Aliesa Hashim cedera.

Azih berkata, pihaknya percaya kemalangan itu berlaku disebabkan tayar ambulan berkenaan tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, Cuepacs kesal dengan kejadian itu dan memohon maaf kepada ahli keluarga pemandu dan pesakit kerana disebabkan kemalangan itu mereka kehilangan insan tersayang.

Beliau mahu Kementerian Kesihatan mengenakan penalti ke atas syarikat yang menyelenggara kenderaan berkenaan dan semula ambulan diganti tayar baru.

Kata beliau, kerajaan juga perlu mempercepatkan perlindungan ex-gratia kepada keluarga mangsa dan menyegerakan tuntutan kemalangan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa. – MalaysiaGazette