Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Sikap seorang ahli perniagaan yang didakwa menjadi pembiaya kepada Pakatan Harapan (PH) menyatakan kononnya tentera hanya ‘tidur dan makan’ mempunyai nada yang sangat biadab dan memperlekehkan peranan penjaga keamanan negara itu.

Malah, kenyataan ahli perniagaan itu ada tentera yang tidak “pernah tembak sebutir peluru pun kecuali di padang sasar” juga menunjukkan beliau seperti kacang lupakan kulit kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

“Anda boleh berniaga dan menjadi kaya raya kerana keselamatan dan kemakmuran negara.

“Tanpa adanya keselamatan negara, anda mungkin sedang berlindung di dalam longkang dan khuatirkan keselamatan nyawa dan keluarga.

“Jauh sekali mempunyai ruang untuk mempunyai empayar peniagaan dan menjadi jutawan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad berkata, beliau kesal kerana masih ada warganegara Malaysia memperkecilkan peranan pasukan keselamatan yang menjadi tonggak kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran negara.

Katanya, keringat pasukan keselamatan yang berkorban sama ada di darat, laut dan udara menyumbang kepada keamanan negara.

Ujarnya, di Bulan Kemerdekaan ini adalah lebih baik sekiranya masyarakat menyemarakkan patriotisme dan penghargaan kepada mereka yang banyak berkorban.

Jelasnya, komunis mungkin berdendam dengan pasukan keselamatan, namun, warganegara sejati tidak akan sesekali hilang pedoman.

“Pelabur sejati tahu kriteria utama risiko pelaburan berkait rapat dengan soal keselamatan, keamanan, kestabilan politik,” tambah beliau. – Malaysiagazette