Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap kepada media mengenai pemandu teksi dan bas pelancong yang tidak mematuhi peraturan lesen kenderaan pengangkutan awam di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pujuk penumpang dengan penipuan tambang murah.

Itulah taktik yang digunakan oleh ulat teksi untuk mendapatkan  penumpang di KLCC.

Perkara itu didedahkan Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail apabila memberitahu, ulat-ulat teksi terbabit telah memberikan imej buruk serta menjejaskan reputasi syarikatnya yang mengurus dan mengendali perkhidmatan teksi di Menara Berkembar itu.

Menurutnya, akibat aktiviti tersebut, pendapatan pemandu teksi yang berdaftar dengan syarikatnya telah terjejas sehingga 80 peratus.

Beliau berkata, ulat-ulat teksi dengan rakus mengambil kesempatan menipu penumpang kononnya mereka menawarkan perkhidmatan dengan bayaran yang lebih rendah berbanding khidmat teksi di bawah kendalian Big Blue Taxi.

“Mereka akan berhenti di luar kawasan tempat mengambil penumpang dan kemudian memanggil mereka (penumpang).

“Kebiasaanya penumpang yang tidak tahu, seperti pelancong asing mereka menganggap perkhidmatan teksi di bawah perkhidmatan kami mahal, sedangkan mereka tidak tahu diri mereka sebenarnya telah ditipu.

“Mereka (ulat teksi) ini akan mengenakan harga tambang yang mahal sebab tidak menggunakan meter dan meletak harga sesuka hati,” katanya yang telah mengendalikan perkhidmatan teksi di KLCC sejak 2010.

Terdahulu, Shamsubahrin menyertai operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula hari ini bagi menangani ulat-ulat teksi yang berkeliaran di menara berkembar Petronas itu.

Mengulas lanjut, Shamsubahrin berkata, ada dalam kalangan ulat teksi terbabit dengan beraninya memujuk orang ramai di dalam bangunan Suria KLCC sekiranya terlihat ada yang berkehendakkan perkhidmatan berkenaan.

Ulat teksi terbabit akan meninggalkan kenderaan mereka di tepi-tepi jalan dan ada juga yang memakir di celah-celah bas persiaran membawa pelancong yang berhenti di luar bangunan tersebut.

“Apa yang dilakukan oleh mereka ini sememangnya sudah melampau dan perbuatan itu sebenarnya bukan perkara baru.

“Saya berharap dengan adanya operasi bersepadu seperti ini aktiviti berkenaan akan dapat dilenyapkan sekaligus memulihkan imej Big Blue Taxi selaku pengendali perkhidmatan teksi berdaftar di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette