Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil maklum keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu, Sabah hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Hanifah Aman di kerusi Parlimen P.176 Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sebagai batal dan tidak sah.

Berdasarkan keputusan tersebut, kerusi P.176 Kimanis diisytiharkan kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) hendaklah diadakan, kata Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Namun memandangkan pihak-pihak terlibat mempunyai hak untuk merayu, pilihan raya kecil hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya.

Di bawah peruntukan undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan.

Menurut beliau, buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya. SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan. – MalaysiaGazette