Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas hadir melawat Red Q, di klia2, Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 OGOS 2019.

SEPANG – Kerajaan sedang mengkaji semula caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang dikenakan ketika ini ke atas syarikat penerbangan tambang murah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PSC sedia ada adalah sama yang melibatkan semua jenis syarikat penerbangan di negara ini.

Beliau berpendapat tindakan itu adalah tidak adil kepada syarikat penerbangan tambang murah.

“Kerajaan akan kaji struktur caj ini semula kerana ia tidak adil jika PSC adalah sama untuk semua syarikat penerbangan.

“Kita perlu adil kepada semua dan akan melihat dari segi saiz dan kos syarikat penerbangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat AirAsia di RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Air Asia dan AirAsia.com, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau diminta mengulas rungutan AirAsia sebelum ini yang menyifatkan PSC ke atas syarikat penerbangan tambang murah itu adalah tinggi dan beban serta tidak adil kepada pengguna.

Minggu lalu, AirAsia melancarkan petisyen membantah PSC tambahan RM23 untuk penumpang yang melakukan perjalanan di luar Asean.

AirAsia berkata, klia2 direka dan dikendalikan sebagai terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan penumpang tidak perlu membayar PSC sama seperti di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang lebih lengkap dan mewah.

Untuk rekod, caj yang dibayar penumpang di klia2 untuk penerbangan ke destinasi di luar Asean meningkat dua kali ganda sejak 2016.

Sehingga 31 Disember 2016, PSC dikenakan adalah RM32 seorang, tetapi bermula dari 1 Januari 2017 kadar itu dinaikkan kepada RM50 seorang.

Mulai 1 Julai tahun lalu, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mengenakan PSC lebih tinggi iaitu RM73 seorang.

Di sebalik arahan itu, AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua, dengan mengatakan ia percaya kenaikan PSC itu ‘tidak munasabah’.

Kemuncaknya pada 19 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan AirAsia membayar PSC belum dibayar sebanyak RM40.73 juta, yang syarikat penerbangan itu enggan kutip selama enam bulan tahun lalu.

Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menangguh penguatkuasaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara mulai 1 September ini.

Pada April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019.

Berdasarkan RUU kontroversi itu, RM20 akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terbang ke negara ASEAN dan RM40 untuk negara lain.

Ketika membentangkan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan ke atas semua penumpang penerbangan yang keluar negara mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Levi itu tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan lapangan terbang.- MalaysiaGazette