Presiden PRK merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan sebahagian pakar motivasi pada Majlis Konvokesyen Motivator Profesional Malaysia di Ballroom Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2019

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada Rabu ini mengenai isu-isu kontroversi yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu seperti tulisan Jawi, Dong Zong dan Dr Zakir Naik akan dibincang dalam mesyuarat Biro Politik parti itu.

Beliau berkata, kenyataan akan dikeluarkan selepas mendengar semua pandangan pimpinan parti.

“Saya minta tempoh satu dua hari kerana akan datang pertemuan antara pimpinan PKR dan saya pula baru balik menunaikan ibadat haji dan tidak mengikuti semua isu.

“Kita akan buat keputusan pada Rabu ini menerusi mesyuarat Biro Politik.

“Saya sudah ada pendirian tetapi kerana saya baru balik dan pimpinan parti hendak bagi hujah mereka.

“Ketika di sana (Tanah Suci) saya tidak ikut sangat perkembangan dan hanya menumpukan ibadat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Motivator Profesional Malaysia di Hotel De Palma di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian PKR mengenai pelbagai isu kontroversi melanda negara baru-baru ini.

Sebelum itu dalam ucapannya, Anwar berkata, senario negara ketika ini sedang berada dalam berkecamuk gara-gara timbul pelbagai isu.

Beliau yang meluahkan rasa kecewa itu berkata, semua isu ketika ini ingin dijadikan pertikaian antara kaum yang menimbulkan suasana kurang selesa.

Jelas beliau, rakyat sepatutnya melihat sesuatu isu itu berdasarkan kepada ilmu yang diperjuangkan.

“Saya tak sokong tulisan Jawi dan bagi saya yang utama memperkasakan penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak boleh tolak ansur,” katanya. – MalaysiaGazette