Koon Yew Yin

KUALA LUMPUR – Setelah menerima kritikan bertalu talu, ahli perniagaan terkenal, Koon Yew Yin sekali lagi memohon maaf kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kebiadapannya.

Sebelum ini, Yew Yin mendakwa golongan itu hanya sekadar ‘makan tidur’ dan sepatutnya di gunakan untuk menggantikan buruh asing di negara ini.

Namun pengasas IJM Corporation dan Gamuda Berhad itu memohon maaf pada Rabu lalu berikutan kenyataan di salah satu laman portal sebelum dipadamkan Selasa lepas.

Bagaimanapun, beliau terus di hujani kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak sehingga terpaksa menulis surat memohon maaf secara rasmi kepada ATM atas kenyataan yang menghinakan itu.

Yew Yin yang menulis surat tersebut beberapa hari lalu mengakui kesilapannya.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina dengan mencadangkan anggota tentera membantu kerja ladang di Felda.

“Saya telah menulis surat meminta maaf kepada anggota tentera di atas kesilapan saya.

“Saya kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina ketika meminta anggota tentera yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam supaya membantu Felda.

“Saya tiada niat untuk menghina sesiapa. Saya meminta maaf di atas kesilapan saya. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yew Kin ini pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini kerana mendakwa amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak pada awal pemerintahan Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak.

Tindakannya memfitnah Almarhum Sultan Azlan Shah disusuli pembatalan pelantikannya sebagai ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak oleh Menteri Besar pada tahun lalu.

Beliau juga pernah menuduh Sultan Nazrin Shah telah campur tangan dalam keputusan pelantikannya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/16/hina-tentera-musuh-negara-mat-sabu/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/14/yew-kin-mohon-maaf-kepada-semua-anggota-tentera/