Datuk Shamsubahrin Ismail
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media ringkas mengenai perkembangan terkini Blue Taxi di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd melahirkan rasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu teksi yang didakwa menyalahgunakan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) syarikat itu untuk menguntungkan pesaingnya, Grab.

Pengasas dan penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, lebih malang apabila pemandu teksi yang menyertai Big Blue semata-mata mahu mendapatkan EVP dengan tujuh tempat duduk berbanding sebelum ini hanya enam tempat duduk.

Beliau berkata, sebaik sahaja Agensi Pengangkutan Awam Darat (APD) meluluskan EVP tujuh tempat duduk itu, mereka menyalahgunakan permit yang dikeluarkan di bawah Big Blue itu dan mengambil penumpang melalui aplikasi Grab.

“Sesetengah pemandu saya dapati dia sertai Big Blue untuk dapatkan EVP pertukaran tempat duduk Innova, asalnya enam tempat duduk, bila pemandu teksi sertai Big Blue, EVP baru akan keluar tujuh tempat duduk

“Dia menggunakan Big Blue sebagai platform untuk mendapatkan kelulusan EVP tujuh tempat duduk.

“Banyak salah guna EVP Big Blue ini dan kita sudah dapat (tangkap), salah guna EVP 7 tempat duduk kita untuk bantu Grab ataupun ambil tempahan daripada Grab,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di KLCC semalam.

Shamsubahrin menegaskan, pihaknya tidak menolak untuk mengambi tindakan tegas terhadap pemandu terbabit termasuk menyerahkan senarai nama dan butiran pemandu-pemandu teksi berkenaan kepada pihak berkuasa APAD.

“Kita pun tengah selidik, semua pemandu Innova yang berdaftar dan tak on aplikasi Big Blue, kita akan hantar nama dan perincian mereka kepada APAD.

“Malah minggu lepas kita sudah bermesyuarat dengan APAD, mereka minta kita hantar semua (nama) pemandu yang kita syaki menggunakan aplikasi Grab dengan EVP Big Blue.

“Awak ada EVP Big Blue tapi awak ambil tempahan Grab, awak kena ada EVP Grab, untuk dapatkan EVP Grab, Big Blue kena beri kebenaran sebab lesen itu (7 tempat duduk) di bawah Big Blue,” tegasnya.

Dalam pada masa, tegasnya, sikap jelik pemandu-pemandu teksi di bawah bendera Big Blue yang masih enggan mengguna dan menghidupkan aplikasi Big Blue untuk memperoleh tempahan dalam talian terus dipertikai.

Shamsubahrin berkata, sikap mereka tidak senada dengan ketegasan mereka sebelum ini yang mendesak kerajaan menghapuskan Grab kerana menjejaskan periuk nasi mereka dan apabila aplikasi Big Blue tersedia, mereka pula enggan memanfaatkan peluang berkenaan.

“Jangan asyik menyalahkan syarikat, persatuan dan gabungan. Sekarang sudah ada lesen khas untuk teksi, syarikat sudah melabur, boleh periksa dalam Google, bila cari Uber dan Grab, keluar Big Blue.

“Awak tahu tak, orang lawan, bela awak (teksi) sampai masuk lokap lah, engkau nak merungut apa, sampai orang bermasam muka dengan menteri, perdana menteri pasal korang.

“Kalau awak tak bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada penumpang, awak kembali pada asal, lebih baik tak ada aplikasi, biar ada Grab saja, buat apa kita nak bazir duit,” tegasnya.

Shamsubahrin turut menegur sikap pemandu teksi seliaannya agar tidak mengharapkan aplikasi Big Blue bertaraf lima bintang seperti mana aplikasi Grab yang sudah lama dalam pasaran.

“Sebelum ini mereka menguar-uarkan Grab telah merampas dan merompak periuk nasi mereka, bila kita lancarkan aplikasi Big Blue, dia beranggapan dan mengharapkan aplikasi Big Blue ini akan jadi sebesar macam Grab.

“Ini tak akan berlaku, mana-mana syarikat aplikasi pun tak akan berlaku bahkan dulu masa MyTeksi bermula pun setelah 6 bulan baru pemandu buat duit.

“Sekarang ini dengan adanya aplikasi ini, ia jadi platform baik dengan harga yang berpatutan, di mana pemandu tidak akan merungut dengan harga yang kita tawarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette