Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Akibat menceroboh masuk rumah milik ibu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis lepas, seorang lelaki dihukum penjara seminggu dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan dengan memasuki ke dalam rumah Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, di sini pada 9.46 malam, 15 Ogos lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 Ogos lepas dan penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Majistret Mohamad Aizat mengapa menceroboh masuk ke rumah itu, Muhammad Nur Akmal berkata dia tidak tahu dan tidak ingat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syakirin Yaccob memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama, bagaimanapun Muhammad Nur Akmal yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan atas alasan dia masih bujang.

Tertuduh akan menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.