Kawasan perkampungan Greenland. Foto Agensi

COPENHAGEN – Greenland bukan untuk dijual dan idea menjualnya ke Amerika Syarikat adalah tidak masuk akal, kata Perdana Menteri Denmark selepas penasihat ekonomi kepada Presiden Donald Trump mengesahkan minat Washington untuk membeli pulau terbesar di dunia.

“Greenland bukan untuk dijual. Greenland bukan Denmark. Greenland milik Greenland. Saya sangat berharap idea ini bukan serius, “kata Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen kepada akhbar Sermitsiaq semasa lawatan ke Greenland.

Trump mengesahkan kepada pemberita baru-baru ini bahawa beliau telah membincangkan kemungkinan itu, walaupun idea berkenaan bukan keutamaan segera.

PM
Mette Frederiksen. foto Agensi

“Konsep itu datang dan … secara strategik menarik,” kata Trump kepada wartawan dari tarmac di Morristown, New Jersey, ketika beliau bersedia menaiki Air Force One.

Trump dijadual melawat Copenhagen awal bulan depan dan Arctik akan menjadi agenda dalam pertemuan dengan Frederiksen dan Perdana Menteri Kim Kielsen dari Greenland, sebuah wilayah Denmark autonomi.

Penasihat ekonomi White House, Larry Kudlow mengesahkan laporan media pada awal minggu bahawa Trump telah membincangkan secara persendirian dengan penasihatnya untuk membeli Greenland.

“Saya tidak mahu meramalkan hasilnya. Saya hanya mengatakan presiden, yang tahu satu atau dua perkara tentang pembelian hartanah, mahu melihat pembelian Greenland, “kata Kudlow kepada Fox News.

Kudlow berkata, keadaan itu “membangun” dan menyatakan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat ke-33, Harry Truman juga pernah bercadang untuk membeli Greenland.

“Dan Denmark memiliki Greenland, Denmark adalah sekutu, Greenland adalah tempat yang strategik. Dan mereka mempunyai banyak mineral berharga, “tambah Kudlow.

Di bawah perjanjian pertahanan antara Denmark dan Amerika Syarikat sejak 1951 telah memberikan hak ketenteraan kepada Amerika Syarikat ke atas pangkalan udara Thule di utara Greenland.

Greenland terletak di antara Atlantik Utara dan lautan Arktik, bergantung kepada sokongan ekonomi Denmark. Ia mengendalikan urusan domestiknya sementara Copenhagen menjaga dasar pertahanan dan luar negeri. – MalaysiaGazetet