Zainal Abidin Sakom
Zainal Abidin Sakom

KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBM) menyambut baik cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar hendak menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di kampung bagi mengelak anak muda berhijrah ke bandar.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, tumpuan kerajaan menerusi kementerian itu amat perlu memandangkan ramai anak muda luar bandar terperangkap dalam kehidupan setelah berada di bandar.

Kata beliau, penegasan menterinya, Rina Harun berkenaan realiti hidup rakyat miskin di bandar amat tepat sekali kerana ramai terpedaya apabila bekerja di ibu kota.

“Ketika ini tidak sedikit penduduk luar bandar berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan, yang mana akhirnya mereka tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Mereka bekerja dan memperoleh pendapatan sekadar cukup makan dan selebihnya terpaksa menanggung kos harian.

“Akhirnya terdapat segelintir dari mereka yang gagal meneruskan perjuangan itu menjadi gelandangan di bandar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas sebuah laporan media yang memetik Rina sebagai berkata, kementeriannya bimbang dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung.

Menurutnya, lebih banyak peluang pekerjaan perlu dicipta untuk golongan muda di kampung bagi mengurangkan penghijrahan mereka ke bandar mencari rezeki, tetapi akhirnya tetap terperangkap dengan masalah kemiskinan bandar.

Kata Rina, berdasarkan data dan pemerhatian, rata-rata rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalah miskin bandar, malah menjadi gelandangan di rumah transit di ibu kota adalah kumpulan rakyat yang berasal dari kawasan luar bandar.

Menurut Zainal Abidin, YBK turut melihat perspektif itu dan pada masa sama membantu melalui pelbagai inisiatif program bagi mengurangkan beban hidup mereka di bandar.

Sebagai contoh, katanya, program Santuni Gelandangan yang dilaksanakan lebih tujuh tahun lalu bertujuan membantu mereka kurang berkemampuan dan terpaksa tinggal di jalanan.

Selain itu, menurut beliau lagi, pihaknya juga memperkenalkan program “YBK Eye” iaitu membantu pelajar rabun dari keluarga asnaf dan berpendapatan rendah mendapatkan cermin mata.

“Walaupun bantuan ini kecil, sekurang-kurangnya dapat menaikkan semangat pelajar untuk belajar dan berusaha mencapai kejayaan agar dapat menambahbaik kehidupan keluarganya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha membasmi kemiskinan memerlukan belanja besar, namun YBK mencadangkan kementerian itu menubuhkan satu jawatankuasa khas pembasmian kemiskinan.

“Kementerian ini boleh menggabungkan agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang, FAMA dan NGO berkaitan bagi membincangkan kaedah yang boleh dilaksanakan dengan menggunakan segala sumber dan tenaga sedia ada untuk membasmi kemiskinan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.