Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap kepada media selepas melancarkan TEKUN Mart Mobile di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Mesyuarat kabinet hari ini bersetuju dengan cadangan memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau gojek sebagai satu inisiatif membantu anak muda menjana pendapatan.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengangkutan diarahkan untuk mengkaji secara terperinci khususnya berkaitan dengan aspek perundangan.

Ia menurut beliau, termasuklah kawasan-kawasan selamat untuk perkhidmatan ini dibenarkan beroperasi.

“Ada greenlight untuk diperincikan membuka ruang dan undang-undang supaya apa sahaja proses yang kita nak laksanakan dari sudut membangunkan ekonomi anak muda tidak akan melanggar undang-undang sedia ada sekiranya terpaksa kita melonggarkan atau mewujudkan undang-undang baru dua kementerian itu kena kaji dan bawa ke satu tahap secepat mungkin untuk jemaah menteri bersetuju.

“Secara prinsipnya Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan projek ini dengan syarat KBS dan MOT berbincang secara lanjut dan terperinci dari sudut membuka ruang dan peluang untuk wujudkan undang-undang tertentu dari sudut di mana tempat-tempat yang kita boleh memmbenarkan gojek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Justeru, Mohd. Redzuan menjangka perbincangan antara kedua-dua kementerian tersebut akan selesai dan seterusnya mendapat persetujuan daripada kabinet dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Hujung tahun ini. saya jangkakan dalam masa sebulan dua bulan akan ada persetujuan kabinet. Tidak begitu sukar kerana undang-undang sedia ada. Kita tidak boleh menempatkan gojek di lebuh raya sepertinya itu mendatangkan bahaya seperti keselamatan jalan raya dan sebagainya itu yang perlu dikaji secara terperinci,” tambahnya.

Pada 18 Ogos yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi Twitternya menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan gojek.

Beliau mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan ojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Untuk rekod, gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia dan perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi yang dibangunkan.

Kaji selidik atas talian itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan 90 peratus bersetuju perkhidmatan berkenaan diperkenalkan dan tidak kurang juga ada yang tidak bersetuju atas faktor keselamatan.-MalaysiaGazette