Musa Hassan
Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata provokasi akan timbul di negara lain sekiranya rakyat negara itu tidak menghormati bendera kebangsaan mereka.

Katanya, bendera sesebuah negara adalah maruah bangsa mereka dan perbuatan mengibarkan bendera yang terbalik adalah satu penghinaan kepada negara.

“Bendera adalah maruah Negara, jika rakyat Negara lain marah jika benderanya tidak dihormati.

“Rakyat Malaysia lagi teruk kerana mempermainkan bendera Negara sendiri. Kita tidak boleh terima orang yang mengaku rakyat Negara ini tidak menghormati bendera Negaranya sendiri,” katanya di laman Twitter.

Kenyataan itu dibuat selepas tular beberapa gambar di media sosial gambar jalur gemilang yang dipasang dalam keadaan terbalik di beberapa premis di negara ini.

Antaranya, di Pusat Pameran, Jualan dan Servis Kereta Toyota di Kuantan, Toyota PDC Auto Kuantan Sdn Bhd yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Sebelum ini juga, Pengerusi Country Height Holding Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew bertindak menukarkan warna bendera Malaysia kepada jalur hitam.

Selain Musa, banyak pihak yang prihatin perkembangan tersebut termasuk Pas yang menggesa supaya tindakan segera diambil terhadap pihak yang cuba membuat provokasi apabila mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menegaskan, tindakan pihak terbabit boleh mengundang kemarahan rakyat di negara ini.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan tindakan sedemikian.

“Sepatutnya semua pihak yang tidak mengira kaum mesti menghormati bendera Malaysia yang merupakan lambang negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang, adalah perbuatan yang tidak disengajakan.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung isu terbabit dan mendapati pemasangan Jalur Gemilang itu, bukan niat bertujuan untuk mengaibkan atau merupakan satu manifestasi membantah di luar sekolah berkenaan. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Sekolah tidak sengaja pasang Jalur Gemilang terbalik – KPN