KUALA LUMPUR – Prospek persekitaran kadar faedah global rendah dan usaha menjana hasil dijangka terus memberi tekanan ke atas kadar hasil bon domestik, kata RAM Ratings Services Bhd.

Syarikat perkhidmatan penarafan itu dalam satu kenyataan berkata, peningkatan permintaan terhadap bon yang menghasilkan pulangan tinggi telah membawa kepada aliran masuk bersih lebih rendah sebanyak RM5.7 bilion ke dalam pasaran bon Malaysia pada Julai 2019 daripada RM6.6 bilion pada Jun 2019.

“Kami tidak menjangkakan tekanan ini akan mereda pada Ogos kerana para pelabur terus mengunjurkan lebih banyak lagi penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bulan depan.

“Meskipun prospek kelembapan pertumbuhan global dan kebimbangan kemelesetan ekonomi yang dicetuskan oleh keluk hasil bon Perbendaharaan AS songsang berpotensi untuk menjejaskan minat pelabur terhadap aset pasaran pesat membangun, kesannya ke atas Malaysia setakat ini hanya terhad kepada pasaran ekuiti domestik,” katanya.

Ia berkata,  Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia berada dalam aliran menurun sejak awal Julai, manakala permintaan terhadap instrumen pendapatan tetap membawa kepada kenaikan harga bon pada bulan tersebut.

Aktiviti penerbitan bon kerajaan kekal teguh pada bulan Julai, dengan jumlah terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan berjumlah RM10.5 bilion berbanding RM8.0 bilion pada Jun.

Ketua Penyelidikan RAM, Kristina Fong berkata keadaan tidak menentu sekarang dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap momentum pertumbuhan global telah membuka jalan untuk melonggarkan keadaan mudah tunai global pada masa hadapan.

“Usaha menjana kadar hasil dalam aset pasaran pesat membangun akan berterusan selagi perbezaan pulangan hasil yang menarik dikekalkan, yang menyediakan tindak balas kepada potensi rasionalisasi aliran pelabur pasif di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette