Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menampal pelekat 'Volunteer Smartphone Patrol' pada Kedai Emas SMS Deen semasa Program Kepolisan Profil Tinggi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Polis melipatgandakan pemantauan di kawasan Jalan Masjid India di ibu negara yang menjadi hub perniagaan emas di rantau ini bagi mencegah sebarang kejadian jenayah.

Ketua Polis Kualan Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, walaupun kawasan perniagaan Jalan Masjid India berisiko tinggi, polis telah berjaya mengawal dan menurunkan kadar jenayah di situ sejak dua tahun lalu.

Katanya, Program High Profile Policing (HPP) di Jalan Masjid India kali ini adalah usaha tambahan bagi memaklumkan kepada para peniaga dan orang awam yang berurusan di kedai-kedai emas berkenaan bahawa mereka selamat daripada jenayah.

“Kita sudah melaksanakan apa yang mereka minta (kekerapan pemantauan polis) di Jalan Masjid India yang disifatkan sebagai hub urusniaga emas di rantau ini.

“Saya dimaklumkan Ketua Siasatan Jenayah bahawa ahli dan anggota D4 dan D9 (jenayah berat) lebih kerap memantau di tempat ini dan meninjau selalu mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami datang secara tidak beruniform. Mereka tidak tahu bahawa polis sebenarnya ada dalam kalangan mereka di tempat berurusan dan sebab itulah kehadiran kami hari ini memberi keyakinan tempat berisiko seperti ini masih dalam pemantauan polis setiap masa,” katanya.

MGF22082019_PROGRAM KEPOLISAN PROFIL TINGGI_09
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim semasa sesi walkabout pada Program Kepolisan Profil Tinggi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OGOS 2019

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas walkabout bersama ahli Persatuan Peniaga Peniaga Kedai Emas Malaysia, Persatuan Peniaga India Muslim Malaysia dan orang awam di sini petang tadi.

Turut serta Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, dalam lawatan berkenaan juga polis melakukan aktiviti menampal pelekat nombor telefon polis di kedai-kedai berisiko tinggi seperti kedai emas yang terdedah dengan jenayah samun bagi memudahkan mereka menghubungi pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau juga bertemu pemilik kedai emas dan memberi nasihat  supaya mereka terus bersama polis dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

“Kita sudah laksanakan usaha ini sejak awal lagi cuma kali ini digandakan secara fizikal dan polis komited dalam hal ini.

“Usaha strategi pencegahan jenayah di kawasan perniagaan ini dari 1 Januari 2018 hingga 18 Ogos 2018 dengan tempoh sama pada tahun 2019 di kawasan Jalan Masjid India menunjukkan penurunan ketara sebanyak 459 kes bersamaan 19.28 peratus.

“Bagi tahun 2018,  sebanyak 2381 kes dilaporkan manakala bagi tempoh sama tahun 2019 menyaksikan hanya 1922 kes dilaporkan disamping jenayah kekerasan dan jenayah harta benda masing-masing menurun sebanyak 96 kes dan 363 kes,” ujarnya lagi.

MGF22082019_PROGRAM KEPOLISAN PROFIL TINGGI_05
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menampal pelekat ‘Volunteer Smartphone Patrol’ pada premis perniagaan semasa Program Kepolisan Profil Tinggi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OGOS 2019

Beliau juga menasihatkan orang awam serta peniaga kawasan berkenaan sentiasa peka dan waspada dengan gerak geri yang pelik kerana tidak menolak kemungkinan ada juga berlakon sebagai pelanggan berurusniaga dengan peniaga.

“Maka menjadi tanggungjawab peniaga dan orang awam yang datang berurusan setiap hari supaya sentiasa lengkap dengan tip-tip dan bijak mengesan pelanggan meragukan dan segera memaklumkan polis untuk bertindak.

“Kerjasama orang ramai mendaftarkan diri sebagai ahli PatrolTelefonpintar Sukarela (VSP) dengan menyalurkan maklumat keselamatan jenayah pada masa tepat boleh mencegah sebarang kejadian jenayah dan menjamin zon yang selesa dan mesra dikunjungi semua,” tegasnya.- MalaysiaGazette