Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd tidak mengiktiraf keputusan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof untuk membawa masuk perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali Gojek ke negara ini.

Pengasas dan penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan, keputusan membawa perkhidmatan itu hanya boleh diumumkan oleh menteri yang bertanggungjawab atau Perdana Menteri.

“Saya tidak mengiktiraf keputusan oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebab kapasiti beliau bukan Menteri Pengangkutan.

“Malah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun tidak layak mengumumkan perkara itu bagi pihak Jemaah Kabinet.

“Ia patut diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atau Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Semalam, Redzuan berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu membincangkan perkara itu secara terperinci dan memberi lampu hijau untuk melaksanakan Gojek di Malaysia.

Shamsubahrin juga menyifatkan pengumuman yang dibuat oleh Mohd Redzuan itu sebagai kenyataan peribadi  dan tidak mewakili Kabinet.

“Ia kenyataan peribadi Datuk Seri Redzuan dan ia tak diarahkan oleh Kabinet untuk disahkan cadangan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak keliru dengan pengumuman itu kerana bukan keputusan muktamad.

“Media jangan salah anggap, Kabinet hanya bagi pra lampu hijau, belum lulus secara rasmi lagi, keputusan Selasa lalu.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sendiri tak setuju dengan Gojek atas isu paling utama iaitu keselamatan.

“Isu keselamatan bagi perkhidmatan teksi motorsikal ini telah dibangkitkan sejak 2017 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette