Lee Zii Jia
Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mencipta sejarah tersendiri, apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di St Jakobshalle, Basel, Switzerland.

Pemain ranking ke-13 dunia itu beraksi cemerlang, menewaskan pilihan kelapan dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 11-21, 22-20, pada saingan pusingan ketiga semalam.

Zii Jia bakal berhadapan tugas berat pada aksi suku akhir nanti, apabila berhadapan juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota.

Dalam pada itu, gandingan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke suku akhir, selepas terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan bukan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 17-21, 21-13, 21-14.

Pilihan kelima itu akan bertemu satu lagi pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, yang juga pilihan ketiga pada suku akhir.

Nasib berbeza pula bagi kem beregu wanita negara apabila perjalanan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen terhenti pada pusingan ketiga.

Vivian-Cheng Wen yang diletakkan selaku pilihan ke-15, tewas kepada gandingan pilihan ketujuh dari China, Du Yue-Li Yin Hui 15-21, 21-11, 8-21.

Gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mengalami nasib yang sama, apabila tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Tairattanachai 21-17, 21-7. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.