JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia menemui tiga mayat dan dalam masa yang sama berjaya menyelamatkan 300 mangsa daripada bangkai sebuah feri yang terbakar di pulau Jawa, hari ini.

Feri KM Santika Nusantara sedang belayar dari Surabaya menuju bandar Balikpapan di Kalimantan sebelum terbakar pada malam Khamis lalu.

Laporan awal mengatakan feri berkenaan membawa 277 penumpang dan anak kapal bagaimanapun agensi penyelamat Basarnas mengesahkan, seramai 303 orang berada dalam feri malang tersebut dan tiga daripadanya meninggal dunia.

“Pencarian akan diteruskan lagi hari ini,” kata pegawai Basarnas, Budi Prasetyo kepada Reuters.

Basarnas menghantar beberapa kapal dari pelabuhan-pelabuhan berhampiran dan sebuah pesawat untuk pemantauan udara.

Jelas Prasetyo, pasukan penyelamat sukar mendapatkan jumlah sebenar mangsa yang berada di dalam feri berkenaan kerana ramai penumpang yang tidak menyenaraikan nama masing-masing dalam senarai penumpang.

Usaha penyelamat dirumitkan lagi apabila hanya 111 penumpang disenaraikan dalam senarai penumpang feri berkenaan.

Data penumpang yang berbeza-beza merupakan masalah biasa bagi sektor pengangkutan Indonesia.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mendedahkan punca kebakaran.- Agensi