Mohamed Salah
Mohamed Salah

LIVERPOOL – Mohamed Salah memastikan Liverpool mengekalkan kemenangan sempurna dalam saingan awal Liga Perdana Inggeris musim ini apabila menumpaskan Arsenal 3-1 di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan liga ke-12 berturut-turut buat Reds itu telah menyamai rekod yang dicatat kelab pada tahun 1990.

Liverpool adalah satu-satunya pasukan yang memenangi semua perlawanan musim ini untuk kekal di tangga teratas liga dengan tiga mata mengatasi Arsenal.

Beraksi di laman sendiri, Joel Matip meletakkan Liverpool di depan menerusi tandukan padu pada minit ke-41 iaitu jaringannya yang kelima bersama Reds.

Anak-anak buah Juergen Klopp terus untuk menggandakan kedudukan apabila Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49.

Reds dihadiahkan penalti selepas David Luis bertindak menarik baju penyerang Mesir itu.

Selang sembilan minit kemudian, Salah menjaringkan gol peribadi keduanya apabila melakukan larian solo dari bahagian kanan sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Bernd Leno.

Hasrat Liverpool untuk tidak dibolosi buat kali pertama musim ini bagaimanapun gagal selepas Lucas Torreira meledak gol saguhati Gunners pada minit ke-85. – MalaysiaGazette