Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2019

PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diarahkan Kabinet untuk mengadakan perbincangan bersama dan mengkaji secara terperinci sebelum perkhidmatan teksi motorsikal atau GoJek diperkenalkan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, langkah itu penting bagi memastikan GoJek yang berasal dari Indonesia itu menepati undang-undang dan mengikut garis panduan pengangutan awam di negara ini.

“KBS dengan MOT telah diarahkan untuk mengkaji sekiranya kita melaksanakan GoJek atau seumpama dengannya.

“Bukan saya menggerakkan Gojek, ia diperkenalkan oleh KBS atas dasar dia nak membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak muda yang merempit sebenarnya.

“Tetapi Kabinet buat keputusan secara prinsip, boleh kita wujudkan tapi diteliti dari sudut undang-undang, geofencing itu sendiri di mana, the last mile dan sebagainya.

“Kita tak boleh letak Gojek contohnya di Lebuhraya Plus, dia kena diperhalusi secara prinsip. Mesti ada undang-undang, garis panduan dan fencing boleh digunakan atau adakah ia terhad kepada penghantaran barang sahaja atau seperti Grab Food ataupun nak bawa orang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Mohd Redzuan mendedahkan bahawa Kabinet pada asasnya bersetuju untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal itu di negara ini.

Menurut Mohd Redzuan, Kabinet dalam mesyuarat mingguannya pada Rabu membincangkan perkara itu secara terperinci dan memberi lampu hijau untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, mengulas kenyataan MyCar bahawa GoJek bakal memberi saingan tidak sihat dalam industri perkhidmatan e-hailing, Mohd Redzuan bagaimanapun berkata, sepatutnya golongan pemandu teksi melakukan perubahan kepada perkhidmatan mereka.

“Kalau hari ini disebutkan mengenai e-hailing, ramai pemandu teksi yang merintih, mengeluh dan sebagainya dan marah juga

“Perkara ini kita akan lihat setakat mana kita boleh membantu persatuan teksi atau pemandu teksi itu sendiri, macam mana mereka nak maju ke depan bersaing dengan perkhidmatan e-hailing.

“Saya rasa ada kaedah-kaedah kita sedang mengkaji supaya kita memberi peluang yang sama kepada pemandu teksi yang telah lama wujud di negara kita.

“Dia kena beri perhatian lebih, kena beri peningkatan dari segi perkhidmatan dia, penampilan dia sendiri. Kita tak boleh nak menafikan e-hailing, tetapi kita kena jadi pemudah cara kepada kedua-dua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette