Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebahagian bebanan tunggakan gaji beberapa bekas pemain dan jurulatih Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah dilangsaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi pemotongan hak penyiaran pada musim 2019.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, sebanyak RM500,000 diterima daripada MFL pada 15 Julai lalu untuk digunakan bagi membayar hutang dan pihaknya akan menanti pembayaran bagi fasa kedua hak penyiaran.

“MFL ada meminta KAFA selesaikan tunggakan gaji bekas pemain termasuk pemain import dan bekas jurulatih malah kami turut terbeban dengan pemotongan yang belum dilakukan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Sebahagian daripada isu ini sudah ada cara penyelesaian dan ini semua akan dikemukakan oleh FAM pada pertengahan September nanti bagi permohonan pelesenan kelab.

“Jadi kami sudah capai persetujuan dengan MFL yang mana hak penyiaran pusingan pertama berjumlah RM500,000 digunakan untuk membayar sebahagian tunggakan gaji pemain.

“Selepas ditolak daripada hak penyiaran itu nanti, baki hutang akan dibayar oleh MQ Technology dan kehadiran penaja kami ini dijangka akan beri impak besar kepada pelan kewangan kami,” katanya.

Kelantan yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji dilihat perlu segera menyelesaikan perkara berkenaan jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab terutama pada aspek pengurusan kewangan.

Pada 23 Ogos lalu, KAFA mengadakan pertemuan dengan MFL yang diketuai Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd bagi membincangkan isu membabitkan pelesenan kelab yang menjadi perhatian utama pada musim depan.

Mulai 2020, semua pasukan dari Liga Premier juga diwajibkan mempunyai pelesenan kelab walaupun tidak seketat pasukan yang bersaing di Liga Super.

Kelantan yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji dilihat perlu segera menyelesaikan perkara berkenaan jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab terutama pada aspek pengurusan kewangan. – MalaysiaGazette