Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan partinya bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinannya semasa pertemuannya mereka di kediaman Ahmad Zahid di Kajang hari ini.-pix FB Zahid

KUALA LUMPUR- Presiden UMNO menyifatkan pimpinan Pas termasuk presidennya merupakan insan yang membuatkan dunia ini lebih baik.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian merujuk pertemuannya bersama pimpinan UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pas hari ini.

Pertemuan itu diadakan di kediaman Ahmad Zahid di Kajang dan beliau juga dilihat memeluk Abdul Hadi.

“Ada beberapa insan yang membuatkan dunia ini lebih baik kerana keberadaannya. Kalian adalah salah seorang dari insan tersebut,” katanya dalam status Facebooknya.

Menurutnya, pertemuan dan perbincangan bersama rakan pimpinan Pas itu positif dan memperkukuhkan penyatuan ummah.

UMNO dan Pas akan memeterai satu piagam ataupun perjanjian kerjasama yang dijadualkan berlangsung 14 September ini.

Kedua-dua parti orang Melayu itu menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 ahli dan penyokong parti pada majlis yang sama.

Ahmad Zahid turut memuat naik gambar-gambar pertemuan mereka yang turut dihadiri pemimpin parti masing-masing di media sosialnya.

Antara pemimpin UMNO yang hadir ialah timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; tiga naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri , Annuar Musa dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pimpinan Pas yang hadir pula Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.- MalaysiaGazette