Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai Kabinet.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ini kerana beliau terikat dengan konsensus dan persefahaman Pakatan Harapan (PH) sehingga tiba gilirannya menjadi Perdana Menteri kelapan.

Beliau berkata, ketika ini ruang perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin barisan Kabinet sedia ada.

“Saya tidak pernah menawarkan diri menyertai Kabinet.

“Tiada isu langsung sama ada saya hendak menjadi ahli Kabinet dan saya sudah nyatakan perkara ini dengan jelas.

“Mengikut konsensus dan persefahaman PH yang ditandangani, Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Wan Azizah (Wan Ismail) menjadi timbalan perdana sebelum tiba giliran saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mahathir semalam mengenai ketiadaan tempat untuknya menyertai Jemaah Menteri sedia ada.

Mahathir menegaskan barisan Jemaah Menteri sedia ada kekal kecuali ada kekosongan sekiranya terdapat menteri yang meletakkan jawatan.

Beliau turut berkata, mesyuarat mingguan Kabinet juga tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio menteri, pelantikan menteri baharu atau tindakan menggantikan mana-mana menteri.

Mahathir ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan kemungkinan usaha membawa masuk Anwar ke dalam Kabinet. – MalaysiaGazette