Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin agar hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik PKR.

Beliau berkata, pelbagai isu berbangkit dapat diselesaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu pada mesyuarat tersebut yang diadakan setiap bulan.

“Biar Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution), saya sudah terima satu surat dan kita menjawabnya.

“Kita ada mesyuarat Biro Politik dan MPP setiap bulan, sila hadir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas dakwaan Zuraida yang beliau tidak melayan tiga pucuk surat yang diserah kepadanya bagi mengatur pertemuan dengan presiden parti dengan Ahli MPP terpilih sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Ampang serta beberapa pimpinan utama parti tidak menghadiri mesyuarat sejak kebelakangan ini.

Mengenai kenyataan Zuraida lagi bahawa hanya takdir yang menentukan beliau menjadi Perdana Menteri kelapan, Anwar yang bersetuju berkata, mati dan hidup serta jodoh juga adalah ketentuan takdir. – MalaysiaGazette