Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tun M tiada pilihan dan kena akur pada janji.

Itu pandangan penganalisis pro Pakatan Harapan (PH) Shahbudin Hussin mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menggantikan Tun Mahathir Mohamad (Tun M) sebagai perdana menteri.

“Menjawab kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa tiada kekosongan jawatan menteri untuk Anwar Ibrahim dalam kabinet, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, akan ada kekosongan kalau Perdana Menteri meletakkan jawatannya.

“Kata-kata Dr Wan Azizah itu secara tidak langsung memperjelaskan lagi hakikat bahawa tempat yang selayaknya untuk Anwar ialah Perdana Menteri, bukannya menteri.

“Maksud Tun Mahathir pun apabila beliau mengatakan tiada kekosongan jawatan menteri untuk Anwar adalah kerana beliau memang telah memperuntukkan kerusi Perdana Menteri untuk penggantinya itu,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Menurut Shahbudin, kenyataan tentang kedudukan Anwar bukan sahaja kerana janji yang sudah dikonsensuskan oleh PH tetapi tiada yang lebih layak selain Presiden PKR itu untuk menggantikan Tun M.

“Umpama kata, kalau sudah diperuntukkan kerusi CEO buatnya, buat apa Anwar mahu jadi pengurus besar buat sementara.

“Lebih baik beliau menunggu janji yang sudah dipersetujui itu ditunaikan kepadanya,” katanya lagi.

Dalam hal ini, Tun Mahathir juga kemudiannya, buat kesekian kalinya, katanya telah berikrar untuk menyerahkan jawatan apabila beliau meletakkan jawatan nanti.

Kata Tun M, beliau terikat dengan janji itu dan akan tetap menunaikannya seperti yang telah dipersetujui.

Beliau juga mengulangi tidak akan berkhidmat sehingga PRU15 yang dijangka akan diadakan pada tahun 2023 akan datang.

“Makna kata, sama ada menjelang dua tahun atau melewati sedikit daripada tempoh itu, Tun M tetap akan melepaskan jawatannya serta akur dengan kedudukan Anwar sebagai penggantinya.

“Tiada pilihan, itulah yang sebaik-baiknya untuk Tun M, PH dan kepimpinan Anwar sebagai nafas baru dipercayai mampu mengemudi parti untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU15 seterusnya,” ujarnya.- MalaysiaGazette