Najib Razak
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dewan Besar Pasar Rabu, Sungai Manik, Perak. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

SUNGAI MANIK – Tindakan kebanyakan Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang sering kali mengeluarkan kenyataan dan saranan yang kurang cerdik dan memalukan negara mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak.

Perkara itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hingga melabelkan pemimpin negara di bawah kerajaan baharu itu sebagai ‘menteri cap ayam’.

“Menteri-menterinya semuanya menteri cap ayam. Saya nak tanya menteri-menteri itu boleh kita harap atau tidak? Ada menteri masuk (Kementerian Pendidikan) suruh tukar kasut putih kepada hitam.

“Kalau saya kasut putih lagi baik sebab kita mengajar budak-budak untuk jaga kebersihan. Kalau kasut hitam dia tak nampak, berminggu tak cuci tak boleh nampak.

“Menteri pendidikan itu dia janji kalau dia menang, tol Simpang Renggam akan dihapuskan. Sudah tiga kali saya buat hantaran Facebook, mana kaunter nak tuntut balik tol yang dibayar.

“Senyap saja, dia tak berbunyi langsung, bererti apa, cap ayam,” katanya pada berucap pada Himpunan Melayu Bangkit & Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik, di sini, malam ini.

Penyatuan Ummah
Seorang peserta memakai baju Penyatuan Ummah tanda sokongan mereka ketika hadir pada Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dewan Besar Pasar Rabu, Sungai Manik, Perak. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) juga menyindir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang tidak mahir berbahasa Inggeris ketika berucap dalam persidangan antarabangsa, baru-baru ini.

“Ada menteri pergi persidangan antarabangsa di Hotel Shangri La Singapura, cakap Bahasa Inggeris, saya fikir Sekolah Kebangsaan Pasir Salak, budak-budaknya Bahasa Inggerisnya lebih baik.

“Elephant fight elephant, grass will suffer, adoi…saya rasa macam nak menyorok bawah meja, persidangan antarabangsa hantar menteri macam itu,” katanya.

Selain itu, Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok turut menjadi sasaran Ahli Parlimen Pekan itu susulan tindakannya menggesa rakyat meminum sesudu minyak sawit untuk memulihkan nilai komoditi negara itu.

“Ada menteri pula suruh kita minum sesudu minyak sawit sehari, kononnya harga sawit akan naik. Menteri ini menteri cap ayam. Kalau setiap seorang minum sesudu sawit sehari 30 juta, hanya 0.25 peratus daripada pengeluran sawit negara.

“Maknanya sesudu tak cukup. Sebotol?…satu gelen?” soalnya.

Najib turut menyindir Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dengan idea kereta terbang yang sehingga kini tidak kunjung tiba.

“Ada menteri kata kereta terbang, akan siap tak lama lagi, 85 peratus. Kalau ada kereta terbang kita sampai Pasir Salak dalam setengah jam, hari ini dua jam setengah (naik kereta), kat mana kereta terbangnya, saya pun tak faham,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast