Gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah kerajaan mulai 15 Mei lalu untuk mewajibkan maklumat orang ramai yang menderma RM1,000 atau lebih dalam setahun kepada pertubuhan kebajikan dan tabung untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa telah menimbulkan kebimbangan.

Sinchew Daily melaporkan, pihak organisasi kebajikan mempunyai tanggungjawab untuk membekalkan maklumat penderma kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sementara penderma bimbang mereka akan menjadi sasaran siasatan LHDN, pertubuhan kebajikan pula khuatir langkah itu akan menyebabkan penderma tidak lagi menghulurkan bantuan kewangan dengan penguatkuasaan langkah tersebut.

Sinchew Daily melaporkan, sebelum ini LHDN mengkehendaki penderma yang menghulur derma RM5,000 atau lebih dalam setahun untuk membekalkan maklumat.

Namun begitu, jumlah itu telah diturunkan kepada RM1,000 melalui pindaan yang dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya melakukan pindaan itu untuk menjaga kepentingan penderma kerana terdapat organisasi yang menyalahgunakan derma yang diterima.

Beliau berkata, penderma tidak perlu bimbang jika tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang.

Ditanya sama ada peraturan itu terpakai untuk derma kepada sekolah dan pertubuhan agama, Sabin berkata, peraturan itu digunakan juga untuk  Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (Tsuwa), Tabung Pengurusan Rumah Ibadah (TPRI), tabung pembinaan sekolah serta tabung untuk membina atau membeli tempat rumah ibadah yang telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. – MalaysiaGazette